Hanya Kerana Pokok

Pada episode kali ini, kita akan mendengar pengalaman misteri dari seorang ahli Tentera Askar Melayu Diraja, Korporal Zamani (bukan nama sebenar) yang akan berkongsi kenangan misterinya bersama jom hiking.

Cerita ni jadi pada 6 tahun lepas, masa tu kami diarahkan oleh pegawai atasan untuk membuat operasi tinjauan sempadan Malaysia Thailand. Dalam operasi tersebut setiap kami dibahagikan kepada seksyen, dimana satu seksyen mempunyai 7 orang.

Dalam 7 orang tu ialah 1x ketua kumpulan berpangkat Sarjan (Sarjan Hamid), 1x Korporal (Zamani), 1x Lans Korporal (Ariffin) dan 5 yang lainnya prebet biasa (Rashid, Penang, Abu, Jan dan Sintok).

Dalam kumpulan kami ni ada seorang prebet nama dia Rashid (bukan nama sebenar). Rashid ni orang yang bagus, kuat sembahyang, pandai ngaji dan banyak hal ugama yang dia tahu. Tapi si Rashid ni jugak ada ilmu ilmu lain yang diguna untuk perubatan tradisional, macam menghalau rasukan dan buatan orang. Pendek kata ada skill bomoh jugak la si Rashid ni.

Pengawal Sempadan

Kami semua bersiap sedia dan mula bergerak pada seawal pukul 7 pagi menaiki lori ke pintu masuk hutan, lori akan membawa kami sampai ke kawasan yang tidak lagi boleh diakses dengan kenderaan. Kami bertujuh turun dan meneruskan perjalanan dengan kaki hingga ke kawasan sungai, di mana sebuah bot sedia menunggu untuk membawa kumpulan kami ke seberang.

Operasi tinjauan sempadan ni memang akan masuk ke kawasan yang tidak diterokai, hutan tebal yang bukan laluan manusia, jadi memang kena rentis hutan belantara untuk ke kawasan tinjauan. Sempadan antara dua negara dalam hutan ni ditetapkan dengan batu petanda yang tingginya tak sampai 5 inchi pun dari tanah pun.

batu sempadan

Selang beberapa jam kami pun sampai di tempat tinjauan antara sempadan Malaysia – Thailand, nak dijadikan cerita di bahagian sempadan Malaysia diselubungi hutan tebal, tapi di sempadan Thailand pulak dah diterokai dan penuh dengan dusun getah.

Pernah masa buat operasi dulu dulu keadaan kadang kadang menjadi huru hara apabila kami terserempak dengan pemburu haram dari Thailand yang sedang ber-camping dalam hutan Malaysia.

Bersepah lari tinggal habis barang semua, ada juga yang sempat kami tahan dan suruh kemaskan semua barang2 mereka yang ditinggalkan dan dihalau pulang ke tanah sendiri.

Hutan Malaysia banyak menyimpan khazanah alam yang bernilai, membuatkan banyak pihak menceroboh untuk mencuri kayu kayu agar, gaharu dan juga memerangkap haiwan.

Selain khazanah alam nyata, khazanah alam lain pun banyak jugak dalam hutan Malaysia ni. Disinilah Rashid punya cerita banyak memainkan peranan dalam kes kes misteri ni.

hutan tebal

Hutan ni selalu yang kita tahu suatu tempat yang dipenuhi hidupan liar, serangga dan juga burung jadi tak hairanlah jikalau suasan hutan ni riuh rendah dengan pelbagai bunyi.

Tapi kami ada satu ketika operasi sedang dijalankan, kami sampai ke sebuah kawasan yang lapang dan disitu langsung tiada bunyi bunyian, bunyi cengkerik pon tak ada.

Rashid yang berada di depan berhenti, dan diam memerhatikan keadaan. Sarjan Hamid tepuk bahu Rashid dan berbisik “Kau dah kenapa Rashid?”

“Lain macam tempat ni Sarjan.” Rashid ujar perlahan, Sarjan Hamid mengarahkan Sintok dan Abu ke depan untuk scout kawasan lapang tersebut. Abu dan Sintok bergerak perlahan dengan memuncungkan senjata api ke depan dan mula memasuki kawasan lapang tersebut.

Ia merupakan satu satunya kawasan lapang di tempat yang dikelilingi lereng bukit dan tumbuhan tebal.

Di tengah tengah kawasan lapang tersebut ada serumpun pokok buluh yang besar menutupi kawasan lapang tersebut dari sinaran cahaya matahari. Kalau nak diikutkan memang tempat yang sesuai untuk berehat, lagipun pada waktu tu jam di tangan menunjukkan pukul 12 tengahhari.

bamboo

Abu dan Sintok memberi isyarat all clear setelah selesai membuat pusingan di kawasan lapang tersebut, Sarjan Hamid bangun dan mengarahkan kami untuk berehat di situ selama 60 minit. Rashid diam sahaja menerima arahan, walaupun pada raut wajah dia memang kalau boleh dia tak nak berehat di situ, tapi dia akur juga.

Walaupun keadaan di kawasan itu sunyi lain macam, kami tak endahkan sangat sebab penat dan lapar tu berada di paras lebih tinggi dari perasaan perasaan lain.

Kami memasak, makan dan berehat sebelum meneruskan perjalanan semula. Perjalanan keluar dari kawasan hutan ni akan mengambil masa kurang 3 jam, kami dijangka kembali ke pangkalan sebelum pukul 6.

Tapi perjalanan kami untuk keluar dari hutan “dihalang” setelah hampir 1 jam kami berjalan masih boleh kelihatan tapak kawasan lapang tadi. Perasaannya seperti jalan setempat, orang kata dah jalan berpusing pusing di tempat yang sama.

Sarjan Hamid mengarahkan untuk bersidang, mencari jalan penyelesaian untuk masaalah yang kami hadapi kini. “Rashid, apa pendapat kamu?” Tanya Sarjan Hamid, keupayaan Rashid dalam kumpulan ni memang diketahui ramai jadi tak hairan lah Sarjan terus bertanyakan pada dia.

“Ada benda yang kita tak patut bawak balik. Saya tak mau tuduh sapa sapa tapi memandangkan situasi kita ni dah tak berapa cantik sangat, ada baiknya kita-“ Percakapan Rashid terhenti apabila Sintok mengangkat tangan, dia menurunkan bag galasnya dan mengeluarkan sepohon pokok kecil.

“Pokok apa kau ambil ni Sintok?” Sarjan Hamid bertanya, “Ini pokok ubat sarjan, susah mau cari ini.” Jawab Sintok. Rupanya pokok yang dicabut Sintok tu tumbuhnya betul betul dekat dengan rumpun buluh tadi, ditanamnya semula dan kemudiannya Sarjan Hamid membuat laungan azan.

Selesai satu perkara, kami berjalan keluar semula dan tidak lagi toleh ke belakang, 15 minit perjalanan akhirnya kami berjumpa semula tanda tanda jalan yang kami buat sebelum ini. Kumpulan kami sampai kembali ke pengkalan lewat 7 malam dan disoal siasat pegawai.

Rashid cakap semasa berjalan balik, seimbas pandang ke rumpun buluh itu dia ternampak kelibat lembaga bewarna putih berada di situ. Tapi disitulah penamat kisah kami.

Pedoman yang kami dapat ialah jangan ambil sembarangan benda di hutan, walaupun cerita berpusing pusing dalam hutan ni dah menjadi kebiasaan misteri yang selalu diceritakan, tapi bila terjadi pada diri sendiri lain macam jugak rasa dia. Esoknya semua kena kawat sebab balik lambat.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.