Pentingnya Mengubati Luka

Perihal mengalami kecederaan luka di hutan bukanlah suatu perkara asing. Malahan ianya menjadi satu lumrah apabila melakukan aktiviti di dalam hutan.

Apabila melakukan aktiviti di dalam hutan, pergerakan dari suatu point ke point yang lain menjadi suatu kepentingan. Kesihatan fizikal menjadi faktor utama dalam memastikan segala perancangan berjalan lancar dan keselamatan diri dan peserta lain berada di dalam kawalan.

Bahagian anggota kaki akan paling banyak menerima kesan dari pergerakan ketika dalam kawasan hutan, ia juga anggota yang paling mudah terkena luka dan kecederaan.

Luka luka seperti melecet, terlanggar objek luaran seperti batu atau pokok dan luka terhasil dari terjatuh adalah antara jenis jenis kecederaan yang selalu terjadi.

Kebanyakkan peserta yang mengejar masa atau peserta lain di hadapan akan selalunya mengendahkan kesakitan yang dialami dan meneruskan perjalanan.

Namun begitu, harus diberi perhatian jika anda mengalami kecederaan yang mengakibatkan luka berdarah (tak kira kecil atau besar) adalah lebih baik untuk berhenti seketika dan merawat kawasan luka tersebut sebelum meneruskan perjalanan.

Bahaya Luka Yang Tidak Diubati
Kecederaan yang mengakibatkan luka datang dengan pelbagai cara. Sama ada luka ketika menyeberangi sungai (kaki tersagat batu), luka terlanggar dahan pokok yang tumbang, luka terkena pokok rotan, luka akibat terjatuh, luka kerana terkena gigitan pacat dan banyak lagi.

Luka merupakan suatu kecederaan bukaan kecil dari lapisan luaran kulit yang terjadi secara sengaja mahupun tidak sengaja. Luka bagaikan suatu pintu masuk organisma alam luar ke dalam badan manusia.

Apabila luka terhasil, reseptor deria sakit di sekeliling kawasan tersebut akan mula menghantar isyarat kepada saraf untuk memberitahu kita yang wujudnya kerosakan pada suatu anggota tubuh.

Dan perasaan sakit mula terasa, sedikit atau banyak bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami pada ketika itu.

lara

Sesetengah orang mempunyai daya tahan sakit yang tinggi berbanding orang lain, tapi ini tidak bermakna yang kecederaan yang dialaminya tidak perlu diberi perhatian.

Kadang kala luka yang kecil memberikan risiko terbesar jangkitan bakteria merbahaya. Semuanya bergantung kepada nasib, tetapi kita masih mampu mengubahnya dengan mengambil jalan untuk menghindarkan perkara tersebut dari terjadi.

Cara Merawat Luka
Apabila luka terhasil, seharusnya peserta aktiviti berhenti seketika untuk melihat dan merawat luka terbabit, tak kira kecil atau besar.

Apabila terkena luka, kawasan tersebut haruslah dicuci dengan air terdahulu untuk membuang sisa sisa luaran seperti sampah hutan (serpihan daun, rumput dan juga pasir atau lumpur).

Di dalam setiap beg, harus ada First-Aid-Kit yang mengandungi ubat antiseptic sebagai contohnya Dettol atau Losyen Kuning (Acriflavine) untuk mencuci luka diikuti dengan Cotton Swap (Kapas pencuci luka) dan juga Plaster untuk pembalut luka luka kecil.

Luka luka besar yang dalam harus diberi lebih perhatian kerana kemungkinan kehilangan darah jika berlakunya pendarahan berterusan dan jangkitan bakteria luar juga lebih mudah terhasil.

Perkara pertama jika peserta berada di dalam kejadian seperti ini ialah untuk mencuci luka tersebut dengan air, dan seterusnya dicuci dengan cecair antiseptic. Jika pendarahan, haruslah cuba untuk menghentikan pendarahan tersebut dengan memberikan tekanan ke atas kawasan luka terbabit dengan kain mahupun tangan, jika ada tali atau kain boleh diikat kawasan atas luka dalam terbabit untuk memperlahankan pendarahan.

Peserta kemudiannya harus membatalkan semua perancangan aktiviti hutan dan terus membawa mangsa keluar dari kawasan tersebut.

Bakteria? Selalu Luka Takde Jadi Apa Apa Pon?
Bakteria merupakan organisma mikro yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun kehadirannya berada di mana mana.

Luka yang terjangkit dengan bakteria akan menunjukkan kesannya dalam beberapa jam, dimana kawasan luka tersebut akan menunjukkan:

  • Perubahan warna kulit kepada merah
  • Kawasan cedera terasa panas berpanjangan
  • Diikuti dengan rasa sakit yang semakin teruk
  • Bengkak
  • Luka mengeluarkan nanah
  • Dan paling teruk sekali jika mangsa terus jatuh demam

Peserta yang mengalami luka bukaan kecil atau besar yang terus demam harus diberi perhatian kerana ketika ini sistem pertahanan badannya mula bekerja dengan lebih.

Perhatikan kawasan terhasilnya luka untuk melihat sama ada ianya telah dijangkiti, luka juga harus dicuci setiap beberapa jam dengan air yang bersih dan telah dipanaskan.

Ubat antibiotik harus diberikan untuk memperlahankan aktiviti pembiakan bakteria dan membantu tubuh untuk melawan serangan terbabit.

Necrotizing Fasciitis (Bakteria Pemakan Daging)
Jangkitan yang paling teruk ialah jangkitan bakteria pemakan daging (flesh eating bacteria) yang dikenali sebagai Necrotizing Fasciitis.

Ianya merupakan jangkitan bakteria yang memusnahkan kulit, lemak dan tisu badan yang melindungi otot dengan pantas.

Jangkitan bakteria Necrotizing fasciitis ini adalah jarang terjadi namun ianya amat serius. Sebanyak 1 dari 4 orang yang terkena jangkitan ini mengalami maut dan ramai mangsa yang terkena jangkitan bakteria ini merupakan orang yang sihat (tiada penyakit lain) apabila terkena jangkitan bakteria ini.

Anda akan mudah mendapat jangkitan ini jika:

  • Mempunyai sistem imun badan yang lemah
  • Mempunyai masaalah kesihatan lain yang kronik seperti diabetes, cancer atau penyakit buah pinggang dan hati
  • Mempunyai kesan luka di tubuh, termasuklah luka dari pembedahan
  • Terkena penyakit demam campak atau jangkitan lain yang mengakibatkan ruam ruam di tubuh
  • Mengambil ubatan yang mengurangkan keteguhan sistem imun badan untuk melawan penyakit (steroid sebagai contohnya)

Apa Yang Menyebabkan Necrotizing Fasciitis?

Necrotizing fasciitis terjadi dari jangkitan beberapa bakteria. Malah ada dari bakteria tersebut hanyalah bakteria biasa yang mengakibatkan sakit tekak yang tidak merbahayakan, namun pada kes yang jarang terjadi jangkitan bakteria tersebut boleh mengancam nyawa.

Bakteria tersebut sebenarnya tidak “memakan” daging. Apa yang terjadi ialah bakteria tersebut bekerja merosakkan kulit dan otot dengan merembeskan satu toksin yang menyebabkan kerosakan pada sel tubuh.

Anda boleh terkena necrotizing fasciitis apabila bakteria memasuki luka, tak kira dari luka gigitan serangga, pacat atau luka luka cedera yang lain.

Apakah Simtom-nya?
Tanda tanda awal anda terkena jangkitan ini mengambil masa selama 24 hingga 36 jam untuk terlihat:

  • Kawasan luka tersebut menjadi merah, bengkak dan panas apabila disentuh
  • Mengalami demam dan perubahan suhu badan (panas sejuk)
  • Pening dan muntah
  • cirit birit

Jangkitan ini juga merebak dengan cepat dan mengancam nyawa mangsanya. Mangsa jangkitan boleh mengalami kejutan dari kesakitan yang terhasil dan kerosakkan pada kulit, lemak dan tisu dapat kelihatan (sama seperti kelihatan kerosakkan pada penyakit gangrene).

Apa yang menjadikan Necrotizing Fasciitis merbahaya ialah jika ia merebak kepada organ badan, ia boleh mengakibatkan kerosakkan yang sama dan kematian kepada mangsanya.

Wujud Ke Kes Macam Ni Di Malaysia? Tak Pernah Dengar Pon?
Pada tahun 2015, seorang lelaki yang mengalami cedera di bahagian kaki setelah terkena pisau sendiri ketika melakukan pembersihan laluan terkena jangkitan bakteria ini pada hari ke lima dalam aktiviti hutan yang sedang dijalankan pada ketika itu. (Ada interview dengan web Jenoba Outdoor)

jenoba

Pada tahun 2015 juga, seorang wanita berusia 27 tahun dijangkiti bakteria ini pada hari ke lima semasa melakukan aktiviti mendaki gunung Tahan di Pahang. (sumber Kwong Wah Yit Poh)

Necro

Beliau mengalami luka kecil di paha terkena jangkitan tersebut apabila merentas sungai. Selalunya bagi kita air sungai yang mengalir ni bersih kan? Terus boleh buat minum, namun jika nasib tidak menyebelahi kita kemungkinan untuk terkena jangkitan ini masih ada.

Jadi sentiasa berhati hati ya.

SHARE
Previous articleAlahan Di Dalam Hutan

Seorang penulis di laman jomhiking.com yang bekerja part time sebagai ninja.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.