Petisyen Untuk Selamatkan Hutan Simpan Ulu Muda

Terletak di negeri Kedah, dan berada diantara sempadan Malaysia dan Thailand, Hutan Simpan Ulu Muda merupakan sebuah rizab hutan yang menjadi habitat pelbagai spesis haiwan liar dan terancam seperti gajah, harimau bitang, tapir, beruang madu, seladang, rusa, memerang dan juga berbagai spesis burung, reptilia, serangga dan juga monyet. Hutan simpan ini juga mempunyai ekosistem flora yang unik kerana kedudukannya yang berada di antara zone iklim utara dan selatan.

Kawasan hutan simpan Ulu Muda ini merangkumi lapan hutan simpan kecil, yang menjadikan keseluruhan kawasan ini berukuran 160,000 hektar dan merangkumi tiga daerah di timur laut negeri Kedah iaitu Baling, Padang Terap dan Sik.

table hektar

Kawasan ini telah di-gazetkan sebagai kawasan hutan simpan kekal pada tahun 1932. Hutan Simpan Ulu Muda juga merupakan kawasan tadahan air penting yang membekalkan 80 – 90% air bersih kepada negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, disamping itu kawasan hutan ini juga merupakan pembekal utama bekalan air bersih ke tiga empangan buatan manusia di negeri Kedah iaitu empangan Muda, Pedu dan Ahning yang menjadi sumber air untuk tanaman padi.

Hutan simpan Ulu Muda adalah umpama syurga bagi pengemar burung – lebih 175 spesis burung jarang dilihat telah direkodkan di sini, dan kebanyakkannya daripada spesis yang direkodkan ialah jenis berhabitat hutan tropika dataran rendah (lowland forest). Ianya telah dimasukkan ke dalam Kawasan Burung Penting (Important Bird Area –IBA) dari Birdlife International dan Malaysian Nature Society.

9 dari 10 spesis burung enggang yang terdapat di semenanjung Malaysia berkumpul di kawasan ini, menjadikan Ulu Muda sebuah tempat terbaik untuk memerhati spesis burung enggang. Dua diantaranya merupakan spesis keluarga burung enggang yang diwartakan semakin pupus kerana kekurangan/kekurangan kawasan habitat oleh badan IUCN (International Union for Conservation of Nature) iaitu:

Plain pouched Hornbill

Burung Enggang Belantara (Plain-pouched hornbill | Rhyticeros subruficollis)

wreathed hornbill

Burung Enggang Gunung (Wreathed Hornbill | Aceros undulates)

Di samping burung, hutan simpan Ulu Muda juga menjadi tempat tinggal kepada 63 spesis reptilia, merangkumi 5 spesis kura kura, 25 spesis cicak dan 33 spesis ular. Ikan air tawar seperti Tengas, Sebarau, Baung dan Ratu pula menghiasi sungai dan tasik di dalam kawasan hutan tersebut.

Sebanyak 111 spesis mamalia telah direkodkan di Ulu Muda, termasuk 50 spesis kelawar. Haiwan mamalia besar yang lain termasuk gajah, seladang, rusa sambar,tapir, babi hutan dan juga harimau.
Keistimewaan hutan Ulu Muda ini terletak pada kewujudan kawasan Sira (takungan air garam mineral) yang banyak terdapat di hutan Ulu Muda ini. Salah satu diantaranya dipanggil Sira Air Hangat yang berkeluasan 48meter panjang dan 24meter lebar, dikatakan paling terbesar dalam dunia. Sira Air Hangat ini sering dilawati haiwan haiwan liar seperti gajah, tapir, rusa dan babi hutan. Kawasan hutan simpan Ulu Muda merupakan satu hab hidupan liar yang penting dan patut dilindungi.

ulu muda salt lick

Sira Air Hangat

Hutan simpan Ulu Muda juga menempatkan beribu ribu jenis pokok balak yang berkualiti tinggi seperti Meranti, Cengal dan Merbau, namun kini kawasan hutan simpan Ulu Muda berada di dalam bahaya kerana aktiviti pembalakan berlesen yang bermula sekitar dari tahun 2008 hingga ke hari ini.

Aktiviti pembalakan berterusan ini telah menjejaskan ekosistem sungai dan habitat haiwan liar di hutan Ulu Muda apabila pokok balak dipercayai ditebang lebih dari yang sepatotnya. Kualiti air sungai terjejas dengan kadar mendapan tinggi yang menjadikan sungai semakin cetek dan ini secara tidak langsung telah memberi kesan kepada nelayan yang menjadikan sungai sungai di Ulu Muda sebagai mata pencarian.

ulu muda balak

Aktiviti Pembalakan Di Ulu Muda

Sebanyak 10 organisasi dan persatuan badan bukan kerajaan (Earth Lodge, GreenSmiths, Sahabat Alam Malaysia, WWF-Malaysia, Malaysian Nature Society Perlis, Penang dan Kedah, Treat Every Environmental Special, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan juga Water Watch Penang) telah membantah tindakan kerajaan negeri Kedah untuk meneruskan aktiviti pembalakan berlesen kerana ianya merosakkan kawasan hutan yang menjadi habitat haiwan liar yang jarang ditermui disamping menjadi nadi kepada sumber air bersih negeri jalapang padi tersebut.

illegal

Pemburu Haram Dikesan Melalui Kamera Perangkap

Aktiviti pembalakan juga membuka ruang kepada pemburuan haram yang dijejaki masuk dari sempadan Thailand untuk memburu haiwan haiwan liar yang terdapat di kawasan hutan Ulu Muda. Pengkaji dari Wildlife Conservation Research Unit (WildCRU) dari University Oxford telah mendapat bukti pemburuan haram berlaku di dalam hutan Ulu Muda tersebut. Kumpulan itu berada di Ulu Muda untuk melakukan kajian selama 18 bulan ke atas populasi harimau dahan (Clouded Leopards) dan menyatakan mereka menjumpai lebih 20 kelonsong peluru dan juga enam pokok agar yang tumbang disyaki perbuatan pemburu haram.

Sokongan anda kini diperlukan untuk membantah tindakan pembalakan di Ulu Muda. Sebuah petisyen telah dibuat untuk diserahkan kepada kerajaan negeri Kedah untuk melindungi hutan Ulu Muda, tunjukan sokongan dan suara anda dengan menanda tangani petisyen tersebut supaya hutan simpan Ulu Muda dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.