Tips Untuk Pedaki Baru Episod 2

Kita berjumpa lagi dalam ruangan Tips, kali ini Tips Untuk Pendaki Baru Episod 2 akan menyambung artikel dari Episod 1, iaitu pemilihan kasut dan perbezaan antara kasut kasut outdoor di pasaran.

Pemilihan Kasut
Perkara tentang kasut ni sebenarnya subjektif, di mana ia dipilih berdasarkan keselesaan pemakai dan juga fungsi yang diperlukan. Tak ada satu kasut yang terbaik untuk semua keadaan, sentiasalah bertanya dan kaji kawasan yang anda ingin lawati.

Nak panjat Chamah Ulu Sepat ke, Yong Yap ke, Tahan ke, mana mana sekalipun, mulakan dengan bertanya guide anda keadaan kawasan tersebut terlebih dahulu dan adakah kasut yang anda gunakan sesuai dengan keadaan bumi tempat tersebut.

Adidas Kampung
Kebanyakkan hiker bermula dengan kasut yang paling basic, iaitu Adidas Kampung.

adidas kampong

Diperbuat dari 100% getah dan beharga kurang dari RM20, kasut ini kalis air sepenunya dan mudah dikeringkan. Menjadikan ia pilihan yang baik untuk dipakai masuk ke hutan. Dikatakan kasut ni dah lama digunakan oleh pekerja kampung (penoreh getah sebagai contohnya).

Ia mula terkenal setelah dipakai untuk memenangi pelbagai perlumbaan mendaki yang diadakan di Gunung Kinabalu di Sabah. Kasut ni datang dengan pelbagai bentuk rekaan, ada sesetengahnya berbeza jenis tapak (rata atau berbentuk seperti tapak bola). Lagi satu pro-tips: Pastikan size kasut ini tak terlalu muat dengan kaki sebab ia akan menyakitkan jari kaki ketika turun dari gunung/ tempat tinggi.

Jikalau anda sayangkan kasut untuk dipakai masuk ke hutan, aa boleh lah beli kasut ni, ada dijual di banyak kedai outdoor dan juga kedai kasut biasa.

Kasut Hiking
Lepas dah pergi hiking dan mula ada pengalaman, kebanyakkan pendaki akan mula beralih kepada Kasut Hiking yang betul (proper hiking shoes).

Contoh Kasut Hiking

Kasut hiking direka untuk memberikan perlindungan maksimum kepada kaki pemakai. Ianya direka tinggi hingga menutup buku lali untuk mengurangkan kemungkinan kaki terseliuh atau cedera kerana terpeleot (ayat baku dia lupa haha).

Tapaknya direkan untuk melalui jalan berselut dan kasar, kainnya tebal dan adakalanya mengunakan fabrik berkualiti tinggi (Gortex sebagai contohnya) dan ada juga yang datang dengan kebolehan kalis air (water proof) yang menjadikan harganya mampu melonjak hingga RM700 keatas untuk sepasang.

Kasut hiking bagaimana pun mempunyai kelemahan, iaitu akan menjadi berat apabila basah dan lambat untuk dikeringkan. Lagipun fungsi kalis air/waterproof akan membuatkan kasut tersebut panas berkuap apabila dipakai, dan menyimpan air di dalam jika basah.

Pro-tip: Hutan tropikal dalam Malaysia ni banyak sungai dan sering hujan lebat sampai membuatkan trek/trail banjir dan penuh selut/lumpur. Kasut waterproof tak banyak membantu (malah makan diri) jika air dapat masuk ke dalam kasut.

Kasut Trail Running
Kini Kasut Hiking perlahan lahan digantikan dengan rekaan yang lebih ringan dan kuat, kerana pendaki dah mula mencari keseimbangan antara kasut yang baik, ringan dan mempunyai ketahanan menyerupai kasut hiking. Kasut hiking kini mula diganti dengan kasut trail running.

Salomon

Kasut trail running direka untuk kegunaan sukan larian denai (trail running). Ianya lebih ringan, selesa dan mempunyai rekaan tapak yang agresif untuk laluan berlumpur, denai dan berbatu.

Ia memberikan perlindungan yang sama seperti kasut hiking malah lebih ringan, tapi ia tidak direka untuk menampung beban yang berat. Kelemahan kasut Trail Running terletak pada faktor kegunaanya, iaitu untuk sukan berlari dan berlumba dan bukannya untuk mendaki gunung sambil membawa beban sebanyak 16-20 kilo di belakang.

Ianya juga lebih mahal dari kasut hiking yang biasa kerana perbezaan teknologi (dan jenama) yang terdapat dalam rekaan kasut tersebut.

Pro-tip: Kasut ini tidak mempunyai jangka hayat ketahanan yang tinggi jika nak dibandingkan dengan kasut hiking, jadi kalau anda membeli kasut Trail Running, boleh terus dihantar untuk dijahit supaya menambah kekuatannya.

Special Case:

Hiking Sandal
Ada juga diantara pendaki pendaki yang memilih untuk menggunakan Hiking Sandal, pendaki yang sebegini selalunya dah lama mendaki, tidak lagi hairan akan basah/lumpur/pacat dan cermat dalam menjaga langkahnya kerana Hiking Sandal tak memberikan banyak perlindungan seperti kasut kasut di atas.

Rekaan sandal hiking kini banyak diperbaharui dalam aspek keselamatan untuk memenuhi permintaan penggunanya dan semakin popular juga dikalangan pendaki baru.

sandal hikingteva sandal

Geng Tactical
Jangan terkejut kalau nampak pendaki yang menggunakan boot tactical polis/tentera untuk mendaki gunung/masuk ke hutan. Ada kemungkinan mereka ini memang merupakan anggota dan perlu membiasakan diri berjalan di dalam boot tersebut yang juga direka untuk kegunaan operasi hutan.

Tetapi ada juga pendaki pendaki yang menggunakan boot ini atas dasar minat dan dah biasa memakainya. Pendaki baru yang tidak pernah menggunakan boot tactical tidak digalakkan dari menggunakannya.

kasut askaraskarboot askar

Penutup Episod 2
Kasut ni isu subjektif, pemilihannya bergantung kepada keselesaan, bajet, style dan apa yang anda mahukan sebagai pendaki. Jadi jika anda pendaki baru, benda benda macam pemilihan kasut ni akan berbeza untuk setiap individu, berharap dengan artikel ini anda dapat membuat keputusan dengan baik.

Apa yang pasti, jangan beli dan pakai kasut dengan size yang salah. Lepas beli kasut, sila pakai untuk seminggu untuk mengembangkan bentuk kasut dengan baik. Kalau terasa kasut tak sesuai dengan kaki, sila pulangkan semula ke kedai untuk mendapatkan size atau rekaan yang lebih sesuai dengan kaki anda. Pastikan anda tanya kaunter berapa lama tempoh sebelum kasut boleh dipulangkan semula atau ditukar ganti dengan kasut yang lain.

Kita akan berjumpa di Episod 3: Pemilihan Beg!

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.