Tips Untuk Pendaki Baru Episod 3

Ruangan tips kali ini masuk episod ke 3, kali ini kita akan membincangkan tentang beg. Di sini admin nak bagitau awal awal yang admin tak akan bagi cadangan terhadap brand atau jenama apa yang anda patut gunakan, itu terletak atas bajet dan minat masing masing. Admin hanya akan memberitahu tips tips memilih beg sahaja, berdasarkan pengalaman admin masuk hutan.

Korang ingat lagi tak dalam episod 1? Ada kes orang bawak beg balik kampung nak naik V2?

Mesej Wan

Admin rasa cerita macam ni tak lagi berlaku zaman sekarang ni sebab orang dah pandai cari info info berkenaan minat masing masing. Lagi ramai buat kawan bila masuk hutan dan mendaki gunung ni, lagi banyak la ilmu korang dapat, jangan sombong sombong dah le ye.

Cara Cara Memilih Backpack
Ada segelintir pendaki berpengelaman akan berkata, “Ko pakai la beg apa pon boleh kalau nak masuk utan ni, asalkan tak buat sampah”.

Pendapat tersebut betul, kalau anda tahu apa yang anda lakukan, sebagai contoh anda masih boleh menggunakan beg sekolah (berkapasiti 20-30 liter) untuk aktiviti hiking yang hanya untuk beberapa jam atau mengambil masa 1 – 2 hari (bermalam).

Tapi adakah anda boleh menggunakan beg yang sama untuk membawa barang selama 8 hari menaiki Gunung Tahan? Mahupun V2? Sudah tentu tidak.

Ini kerana, semakin panjang waktu aktiviti anda di dalam hutan, semakin banyak barang yang perlu dibawa, dan membawa lebih dari 1 beg dalam aktiviti pendakian yang memerlukan peserta meredah kawasan curam, sungai dan lumpur adalah tidak digalakkan sama sekali.

Beg berfungsi sebagai alatan untuk membawa barangan penting ketika melakukan aktiviti hutan, sebagai contoh makanan ringan dan ubat, air minuman dan juga baju. Beg juga hadir dalam banyak saiz, gambar di bawah menunjukkan perbezaan saiz dan kegunaan beg.

kapasiti

Ketika melakukan aktiviti hutan, banyak barang yang perlu dibawa dan diambil kira, kita juga perlu mengambil kira bentuk muka bumi yang akan kita lalui ketika dalam pendakian. Di sinilah beg yang bagus dan kuat memainkan peranan penting.

Tips:
Untuk permulaan anda boleh terus mendapatkan beg bersaiz 50 liter. Ianya berada pada kadar pertengahan dan sesuai untuk dibawa untuk trip 1 hari ataupun 5 hari. Ingat, pembelian beg hiking tidak sewajarnya dibuat secara online, adalah lebih baik untuk anda pergi ke kedai beg tersebut dan mencubanya terlebih dahulu. Struktur badan manusia berlainan dan mungkin beg yang menarik perhatian anda tidak sesuai untuk tubuh badan anda.

Kenapa beg yang bagus dan original itu penting? Ada kes terjadi orang beli beg hiking tiruan dari vietnam yang dikatakan setanding kualiti original tapi bila bawa masuk ke hutan, putus tali, dan plastik penahan tali (plastic buckle) patah kerana tidak dapat menampung beban dan pergerakan ketika melakukan aktiviti.

buckle patahtali beg putus

Jika anda berasa beg anda tidak mampu bertahan (atau senang kata rasa tak yakin dengan beg anda) ketika melakukan aktiviti hutan, jangan lupa untuk bawak benang dan juga jarum ke dalam kit barangan anda untuk melakukan pembaik pulih kepada tali yang putus. (Admin pernah kena masa di Gunung Tahan, nasib baik ada orang bawak benang dam jarum).

Video di bawah akan menunjukkan cara pemakaian dan fitting beg yang betul supaya anda tidak membeli beg yang tak sesuai dengan badan anda. Anda juga boleh mendapatkan khidmat nasihat pekerja di kedai yang menjual beg tersebut untuk membantu anda mendapatkan beg yang sesuai.

Kita akan bersambung pada episod 4 untuk melihat barang barang yang patut dibawa untuk pendaki pendaki baru.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.