Terma & Syarat Umum


Terakhir Dikemaskini:

31 Oktober 2025


Selamat datang ke JomHiking.com. Terma & Syarat berikut mengawal penggunaan laman web dan perkhidmatan kami. Dengan mengakses atau menggunakan platform, laman web, atau perkhidmatan tempahan kami, anda bersetuju dengan Terma & Syarat ini. Sila baca dengan teliti sebelum membuat sebarang tempahan.


1. Terma-Terma Umum

  • Kelayakan: Pengguna mestilah berumur sekurang-kurangnya 18 tahun untuk menempah trip dengan JomHiking. Peserta bawah umur mesti ditemani oleh penjaga yang sah atau memberikan kebenaran bertulis.
  • Tempahan dan Pembayaran: Semua tempahan trip dan pembayaran mesti dibuat melalui platform JomHiking atau saluran yang diluluskan. Bayaran penuh diperlukan untuk mengesahkan tempahan anda. Harga adalah telus dan dinyatakan dengan jelas sebelum pengesahan, tanpa caj tersembunyi.
  • Privasi & Perlindungan Data: Data peribadi anda akan dikumpulkan, disimpan, dan digunakan mengikut Dasar Privasi kami. Dengan menggunakan platform kami, anda bersetuju dengan penggunaan dasar ini.
  • Pindaan: JomHiking berkemungkinan akan mengemaskini terma-terma ini dari semasa ke semasa. Terma-terma yang dikemas kini akan diterbitkan di platform, dan penggunaan berterusan merupakan penerimaan kepada terma tersebut.


2. Penafian Penyertaan Pendakian

     Penafian ini menggariskan terma dan syarat khusus untuk semua peserta dalam pendakian berpandu JomHiking.


   A) Pengumpulan Data Peribadi:

  • Data Peribadi: Data peribadi peserta, termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat, dan nombor hubungan, akan dikumpulkan semasa pendaftaran.
  • Tujuan: Data ini diperlukan untuk tujuan permohonan perlindungan insurans dan permit perhutanan, seperti yang diwajibkan oleh pihak berkuasa tempatan.
  • Polisi Pertukaran Nama: Setelah permohonan permit perhutanan atau insurans dikemukakan dan diluluskan, tiada pertukaran nama peserta dibenarkan.
  • Peraturan ini tertakluk kepada Jabatan Perhutanan dan syarikat insurans yang mengeluarkan permit dan perlindungan atas nama peserta berdaftar.
  • Sebarang penggantian peserta memerlukan tempahan dan bayaran baharu.


   B)   Kelayakan & Kondisi Perubatan:

        Penyertaan pendakian yang dianjurkan oleh JomHiking adalah tidak sesuai untuk golongan yang berikut:

  • Kanak-kanak di bawah 5 tahun
  • Individu melebihi 65 tahun
  • Wanita mengandung
  • Individu dengan kondisi perubatan yang serius, termasuk masalah jantung, masalah pernafasan, tekanan darah tinggi, penyakit altitud tinggi, baru lepas pembedahan, atau tahap kecergasan yang rendah
  • Individu dengan masalah tulang belakang, vertigo, atau fobia akan ketinggian
  • Individu dengan masalah mobiliti atau pengguna kerusi roda
  • Individu yang mempunyai alahan serangga
  • Individu yang telah menyelam dalam tempoh 24 jam sebelum mendaki

        Sebagai peserta, anda dikehendaki mendedahkan sebarang kondisi perubatan yang mungkin mempengaruhi keupayaan anda untuk mendaki.


   C)   Risiko dan Bahaya:

       Aktiviti mendaki membawa risiko yang boleh mengakibatkan kecederaan atau, dalam kes yang jarang berlaku, kematian.

       Risiko ini boleh dikurangkan melalui persediaan yang betul, langkah-langkah keselamatan, dan mematuhi arahan dari Malim Gunung Perhutanan (MGP).

       Peserta mengakui kemungkinan risiko dan bahaya termasuk, tetapi tidak terhad kepada:

  • Keletihan, dehidrasi, atau kekejangan otot
  • Tergelincir, jatuh, atau tersesat dari laluan
  • Sentuhan dengan tumbuhan beracun atau berduri
  • Banjir kilat, tanah runtuh, pokok atau dahan tumbang
  • Berselisih dengan haiwan liar atau berbisa
  • Hipertermia (kepanasan melampau) atau hipotermia (kesejukan melampau)
  • Jangkitan atau penyakit yang disebarkan oleh haiwan atau persekitaran


   D) Tanggungjawab Pengguna & Tingkah Laku Dilarang:

  • Sebagai peserta, anda bersetuju untuk mematuhi semua arahan keselamatan daripada MGP bertauliah dan tiba tepat pada masa di tempat pertemuan yang ditetapkan.
  • Peserta dilarang melakukan tindakan yang berbahaya, kasar, serta tidak mengganggu atau tidak menghormati peserta atau MGP yang lain.
  • Anda bersetuju untuk tidak mengambil alkohol, dadah, ketum, atau sebarang bahan terlarang lain semasa trip pendakian.
  • Dilarang membuang sampah. Sila pastikan laluan sentiasa bersih dan amalkan prinsip "Leave No Trace”.
  • Perkongsian maklumat palsu semasa tempahan atau pendaftaran adalah dilarang.


E)  Caj Lebih Masa:

  • Sekiranya pendakian mengambil masa lebih lama daripada jadual asal akibat kelewatan peserta, pergerakan perlahan, atau kegagalan mematuhi arahan MGP, MGP berhak mengenakan caj lanjutan masa.
  • Kadar caj ini akan mengikut kadar rasmi Persatuan MGP atau kadar yang dimaklumkan oleh JomHiking, berdasarkan tempoh dan tenaga kerja tambahan.
  • Peserta akan dimaklumkan tentang caj ini sebelum atau selepas aktiviti dijalankan.


  F)  Saluran Komunikasi Rasmi:

  • Setelah tempahan disahkan, peserta akan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp rasmi yang dicipta khusus untuk pendakian tersebut.
  • Kumpulan WhatsApp ini akan menjadi saluran komunikasi utama antara pihak JomHiking, MGP yang dilantik, dan semua peserta berdaftar.
  • Segala maklumat penting seperti butiran perhimpunan, peringatan, amaran cuaca, atau perubahan jadual akan disampaikan melalui kumpulan ini.
  • Peserta bertanggungjawab untuk sentiasa mengikuti perkembangan dan maklumat yang dikongsi dalam kumpulan tersebut. JomHiking tidak akan bertanggungjawab sekiranya peserta terlepas sebarang maklumat akibat tidak memantau komunikasi dalam kumpulan.


  G) Kuasa Malim Gunung untuk Mengubah, Menangguh atau Menamatkan Pendakian:

     JomHiking dan MGP yang dilantik berhak untuk mengubah, menangguh, menggantung atau menamatkan aktiviti pendakian pada bila-bila masa sekiranya, menurut pertimbangan munasabah mereka, keadaan tersebut menimbulkan risiko keselamatan atau melanggar peraturan yang ditetapkan.     Ini termasuk tetapi tidak terhad kepada:

  • Penemuan maklumat tempahan yang palsu atau dipalsukan;
  • Kegagalan peserta mematuhi arahan atau peraturan keselamatan;
  • Tingkah laku peserta yang membahayakan diri sendiri, orang lain, atau persekitaran sekeliling;
  • Keadaan fizikal atau kesihatan peserta yang tidak sesuai untuk meneruskan pendakian;
  • Keadaan cuaca yang buruk (contohnya hujan lebat, kilat, angin kencang);
  • Keadaan laluan atau persekitaran yang tidak selamat seperti tanah runtuh, pokok tumbang, banjir kilat, atau sekatan akses oleh pihak berkuasa.

     Dalam keadaan di atas, keputusan MGP atau JomHiking adalah muktamad dan dibuat demi keselamatan serta kebajikan semua peserta.

     Tiada bayaran balik atau pampasan akan diberikan bagi sebarang perubahan atau pembatalan yang dibuat atas faktor keselamatan.         


  H)  Polis Nisbah MGP dan Peserta:

     Bagi memastikan keselamatan dan pengurusan yang teratur semasa aktiviti pendakian, JomHiking bersama semua MGP yang dilantik akan mematuhi nisbah MGP kepada peserta seperti yang ditetapkan oleh pihak jabatan perhutanan dan persatuan negeri masing-masing.

  1. Kawasan Pendakian yang Diwajibkan MGP

    Bagi laluan yang mewajibkan penggunaan MGP, jumlah maksimum peserta bagi setiap MGP adalah 1 MGP bagi setiap 7 peserta, termasuk penganjur (jika turut serta).

   2. Kawasan Pendakian yang Tidak Diwajibkan MGP

  • Persatuan MGP negeri berhak menentukan jumlah peserta minimum dan maksimum bagi setiap MGP mengikut syor pihak berkuasa.
  • Kebiasaannya, nisbah 1:7 akan diguna pakai bagi kumpulan biasa.
  • Jika jumlah peserta melebihi tujuh (7) orang tetapi tidak lebih sepuluh (10), nisbah 1:10 boleh digunakan.
  • Jika jumlah peserta melebihi sepuluh (10) tetapi tidak lebih empat belas (14), maka nisbah 1:7 akan dipraktikkan semula, dan begitulah seterusnya.

     Polisi ini memastikan semua aktiviti pendakian di bawah JomHiking mematuhi peraturan pihak jabatan perhutanan serta mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi.


   I) Insurans & Liabiliti:

  • Semua peserta akan dilindungi di bawah pelan khas Insurans Kemalangan Diri (PA) Pendaki, yang memberikan perlindungan terhadap kecederaan tidak sengaja atau kematian seperti yang diperincikan oleh syarikat insurans Baca Lanjut. JomHiking akan menguruskan pembelian insurans ini bagi pihak anda sebagai sebahagian daripada proses tempahan.
  • JomHiking tidak akan bertanggungjawab untuk sebarang tuntutan di luar skop perlindungan insurans ini. Semua tuntutan insurans mesti dibuat secara terus kepada syarikat insurans.
  • Peserta kekal bertanggungjawab atas tindakan masing-masing semasa mendaki dan dikehendaki mematuhi semua arahan keselamatan yang diberikan oleh MGP.


  J)  Persetujuan Media:

  • Dengan menyertai trip JomHiking, anda memberikan JomHiking hak untuk merakam, menggunakan, dan menerbitkan gambar atau rakaman video yang diambil sepanjang trip bagi tujuan promosi, pemasaran, dan dokumentasi.
  • Peserta yang tidak mahu difoto atau dirakam hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada JomHiking sebelum trip bermula.
  • Segala bahan media yang dirakam atau diperoleh semasa aktiviti adalah hak milik eksklusif JomHiking.
  • Peserta mengakui bahawa mereka tidak berhak menuntut sebarang bayaran royalti, pampasan, atau tuntutan lain daripada penggunaan gambar atau rakaman tersebut untuk tujuan publisiti, promosi, atau pemasaran.
  •  Klausa ini hendaklah dibaca bersama dengan Dasar Privasi kami.


3. Pembatalan & Bayaran Balik

  • Polisi pembatalan (bayaran balik, penjadualan semula) akan dinyatakan dengan jelas untuk setiap trip dan adalah khusus untuk trip tersebut.
  • Bayaran balik (jika berkenaan) akan diproses dalam tempoh hari bekerja yang ditentukan.
  • JomHiking berhak untuk membatalkan atau menjadualkan semula trip atas faktor keselamatan, cuaca, atau operasi. Peserta akan dimaklumkan dengan kadar yang segera.


4. Harta Intelek

  • Semua kandungan, penjenamaan, dan bahan di platform JomHiking kekal menjadi hak milik JH Outdoor Venture.
  • Pengguna tidak boleh menggunakan logo, jenama, atau kandungan JomHiking tanpa kebenaran bertulis.


5. Pertikaian

  • Sebarang aduan atau pertikaian mesti diserahkan secara bertulis ke support@jomhiking.com.
  • JomHiking akan meneliti dan membalas aduan tersebut dalam tempoh masa yang munasabah.
  • Terma & Syarat ini ditadbir di bawah undang-undang Malaysia.